Monday, July 20, 2009

.:Pemuda Bervisi Berasa Sedikit Bengang dengan rapidKL:.

Hari ini genap seminggu kejadian "bas rapidKL terbang".



Aku ada temujanji untuk memeriksa mata aku dengan Pakar Oftalmologi(Selepas ini disebut Eye Clinic) di Pusat Perubatan Universiti Malaya (selepas ini disebut sebagai PPUM). Pada malam sebelumnya, aku menghubungi sepupu aku, Miss CK yang merupakan staf Farmasi PPUM untuk bertanyakan beberapa perkara termasuklah mengenai lokasi Eye Clinic PPUM.



20 Julai 2009 - Jam 9.10 pagi.



Aku memandu sebuah kereta Proton Saga 1.3(A) berwarna Granite Grey yang baru sahaja sebulan aku beli dari sebuah pengedar sah Proton di Bandaraya Alor Star, Kedah. Kereta itu megah menyusur di Lebuhraya Persekutuan menghala ke Kuala Lumpur. Ramai anak-anak gadis teruja melihat ketampanan teruna yang memandu kereta tersebut.



Di Lebuhraya Persekutuan, keadaan trafik agak sesak pada ketika itu terutamanya dari Tol Batu Tiga sehingga Jambatan Pulau Pinang (LDP). Namun, ini adalah asam garam pemandu di Lembah Klang. Kalau tak sesak, bukan Lembah Klang namanya. Selama lebih kurang setengah jam memandu sambil makan roti Gardenia Butterscoth bersama air mineral La Boost, maka tibalah aku di sebuah pusat perubatan terkemuka di Malaysia iaitu Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Setelah bertungkus lumus dan berhempas pulas selama lebih 15 minit mencari parkir untuk kereta aku, akhirnya sepasang suami isteri berbangsa India, memandu keluar sebuah kereta Honda CRV dari sebuah lot parkir yang cukup strategik di Tingkat 3A.



Aku pun terus masuk ke lot parkir itu dengan bangganya. Dan tanpa membuang masa, aku terus capai kad temujanji PPUM, 2 unit telefon bimbit, beg duit dan kunci kereta dan bergegas ke Lif. Pada ketika itu, jam menunjukkan pukul 10.08 minit pagi. Aku harus bergerak pantas dan cergas walaupun kurang tangkas bagi mengelak kelewatan. Aku dimaklumkan, kaunter penerimaan pesakit di Eye Clinic ditutup jam 11.00 pagi.



Sebaik tiba di Kaunter Penerimaan Eye Clinic, aku lapor diri dan terus diminta untuk ke Bilik 13. Di bilik 13 itu, seorang jururawat yang cukup lembut tutur katanya meminta aku untuk membaca huruf-huruf yang berbeza saiznya kerana dia ingin mengetahui tahap penglihatan aku yang sebenarnya. Selepas itu dia menyuruh aku tunggu sebentar di luar. Masa itu, aku nampak cukup ramai orang sakit mata rupanya. Sebelum ini aku tak pernah tahu bahawa ramai lagi yang lebih menderita dari aku. Sedang aku asyik memerhatikan gelagat pesakit-pesakit yang lain, aku terdengar kelunakan suara seorang jururawat berbangsa India memanggil namaku di Bilik 19. Aku bingkas bangun dan masuk ke bilik itu.



Dalam bilik itu, seorang doktor bernama Dr Jasvinder Singh memeriksa mata aku dengan sejalur cahaya yang cukup terang. Pedih sungguh mataku ketika itu. Dia kemudian bertanya tentang beberapa perkara berkaitan dan kemudian menyuruh aku pergi ke kaunter untuk membuat pendaftaran.



Maka pada ketika itu bermulalah detik kehairanan aku. Staf itu memohon bayaran sebanyak RM30 sebagai caj pakar perubatan. Aku memaklumkan di Kaunter itu bahawa aku adalah seorang mangsa kemalangan bas rapidKL minggu lalu. Pihak rapidKL telah berjanji secara lisan bahawa mereka akan menanggung segala kos rawatan perubatan yang terlibat untuk semua mangsa kemalangan tersebut. Tetapi malangnya, perkara ini tidak berlaku. Tiada sebarang Surat Jaminan (GL) daripada pihak rapidKL diberikan kepada pihak kami (mangsa kemalangan), mahupun kepada pihak PPUM sebagai bukti liabiliti itu. Aku sebenarnya tak kisah pun nak bayar kos rawatan itu sebab aku mampu membayarnya. Tapi, di manakah janji-janji manis rapidKL itu?



Masa lepas kemalangan minggu lepas ramai Top Management of rapidKL yang datang melawat di Wad Kecemasan PPUM dengan pelbagai jaminan bahawa kami akan diberikan kemudahan itu dan ini. Namun, seminggu lepas itu, janji-janji manis itu hanya tinggal janji. Susah sangat ke nak buat Surat Jaminan tu? Ataupun sebenarnya rapidKL...............(biarlah ayat ini berakhir tanpa noktah)



Sebenarnya, sebelum datang ke PPUM, aku dah pun mengambil GL dari Pusat Kesihatan UiTM pada minggu lepas sebagai langkah persediaan menghadapi segala kemungkinan yang aku sudah jangkakan akan berlaku. Tapi lepas aku dapat GL tu, pihak Pusat Kesihatan UiTM menghubungi aku dan memaklumkan bahawa, kos rawatan aku akibat kemalangan bas rapidKL sepatutnya ditanggung oleh pihak rapidKL. Bukan bermakna Pusat Kesihatan UiTM nak lepas tangan, tapi katanya pihak rapidKL sepatutnya lebih bertanggungjawab kerana aku adalah penumpang bas mereka. Maka, aku pun berniat untuk simpan sahaja GL UiTM itu. Tapi, bila dah jadi macam ni, aku pun keluarkan la GL UiTM itu untuk memudahkan proses yang kian rumit itu.



Selepas itu, aku terus diberikan nombor giliran yang baru iaitu 0007 dan diminta untuk menunggu sekali lagi di ruang menunggu. Setelah lebih kurang sejam menunggu, akhirnya nombor aku dipanggil di bilik 17. Sekali lagi aku bertemu doktor Jasvinder Singh dan beliau memeriksa mataku dengan begitu teliti kali ini. Mata aku disuluh dengan sejalur cahaya putih dan sejalur cahaya biru. Bercucuran air mata aku pada ketika itu. Mata aku dirobek-robek dan dikuak-kuak. Selepas itu mata aku dititiskan dengan setitis pewarna yang berwarna kuning. Pada ketika itu, seluruh penglihatan aku manjadi kuning. Sejurus selepas itu, maka selesai lah sudah pemeriksaan doktor tersebut.

Aku diberikan preskripsi ubat dan kemudian diberikan tarikh temujanji baru serta Sijil cuti sakit. Aku diminta untuk datang semula pada minggu hadapan. Aku terus keluar dari bilik doktor itu dan terus bergegas ke tandas. Setibanya di tandas, aku terkejut melihat mataku yang trsangat kuning. Aku mengesat lelehan air mata yang masih mengalir lemah di pipiku dan bingkas keluar dari tandas.

Pastu, aku singgah sebentar di Bahagian Kewangan PPUM untuk bertanyakan mengenai status tanggungan bayaran perkhidmatan dan rawatan kesihatan yang sepatutnya kami sebagai mangsa kemalangan bas rapidKL terima. Staf di situ melayan dengan baik. Katanya mereka tiada masalah untuk memberikan rawatan secara percuma kepada semua mangsa kemalangan tersebut asalkan kami mempunyai GL. Kalau tiada GL, maka pihak PPUM tidak dapat memberikan pengecualian bayaran. Menurutnya lagi, pihak PPUM sudah beberapa kali cuba berunding dengan pihak rapidKL untuk menyelesaikan masalah ini, namun semua usaha tersebut masih belum menunjukkan perkembangan positif. Mendengar penjelasan itu, aku hampa...

Aku terus beredar dan menuju ke Farmasi PPUM untuk mengambil ubat. Selepas menyerahkan borang preskripsi ubat, aku terlihat pemandu bas rapidKL yang terlibat dalam kemalangan minggu lepas. Dia memandang tepat ke arahku dan aku juga memandang tepat ke arahnya. Terpancar sinar penyesalan di wajahnya. Aku terfikir, kenapa la dia muncul ni?? Dah la aku tengah bengang dengan Top Management rapidKL hari ni, pastu dia muncul lak kat sini. Aku belum bersedia untuk berjumpa dengannya. Aku terus beredar membeli jagung cawan di kedai serbaneka berhampiran.

Setelah mendapatkan ubat di kaunter 21, aku pun pergi semula ke Bahagian Kewangan PPUM untuk bertanyakan tentang hal pembayaran tersebut. Namun, pihaknya masih belum menerima apa-apa jaminan dari pihak rapidKL. Oleh kerana itu, aku pun terus menghubungi ibu pejabat rapidKL. Malangnya, semua pegawai keluar berehat pada masa itu. Aku diminta untuk meninggalkan pesan. Dalam pesanan yang ditinggalkan, aku tidak dapat elak dari meninggalkan pesanan yang nadanya agak keras. Aku harap pihak rapidKL faham kenapa pesanan aku bernada begitu. Kesian jugak kat operator telefon tu. Tapi apakan daya, dah memang tugas dia. Dan pihak rapidKL juga tidak boleh menyalahkan aku kerana aku hanya menyatakan apa yang aku rasa dan apa yang aku alami.

Waktu mula-mula kemalangan tu berlaku, semua pegawai-pegawai atasan rapidKL datang ke PPUM untuk melawat mangsa kemalangan dan meninggalkan pelbagai janji-janji manis. Tapi kini setelah seminggu kejadian itu berlaku, ke manakah mereka menghilang? Susah sangat ke nak keluarkan GL tu? Kalau susah, kenapa taburkan janji kepada mangsa masa mula-mula kemalangan itu berlaku?

Dalam perjalanan pulang ke Shah Alam, aku terfikir untuk menggunakan pengaruh media massa untuk menyelesaikan perkara ini. Aku bertindak bukan untuk aku seorang. Tetapi, aku bertindak untuk mewakili semua mangsa kemalangan bas rapidKL yang lain juga. Ramai lagi mangsa yang mengalami masalah yang sama.... Ooohhh rapidKL... Bunyinya macam laju tetapi kerjanya macam...........

5 comments:

Azam Reddy said...

wah..abg brcerita dgn penuh emosi dan perasaan ek..bgus2,saye suke..dan abg pn dh cerita kn pd saye almost everything psl ni kt saye siang td kn..sye juz mbace utk menambah ape2 yg kosong di benak fikiran saye..hehe..

Unknown said...
This comment has been removed by the author.
Unknown said...

Saya setuju dan memang patut pun permasalahan ini diusulkan ke pihak Mediamassa..kalu tidak pihak RapidKl ni memang...

Azam Reddy said...

kita boikot rapid kl..pandai2 je nk naikkan tambang lak..

Zulkar9 said...

Apa kata encik hubungi pihak TRANSIT di transitmy.org dan beri laporan terperinci supaya tekanan dapat diberikan pada RapidKL (dan pihak kerajaan untuk memperbaiki keadaan pengangkutan awam semasa), dan supaya boleh diambil iktibar oleh pengguna lain.