Tuesday, July 14, 2009

.:Pemuda Bervisi terlibat dalam Kemalangan Bas rapidKL:.

Pada 14 Julai 2009, aku dijemput untuk ke pusat kecergasan Fitness First di Menara Maxis kerana ada promosi percubaan percuma. Oleh kerana orang kat Fitness First tu keep on calling me tak berhenti, maka aku pun setuju la nak pegi. Aku ajak la kawan-kawan aku tapi mereka semua sibuk dan tak dapat nak pegi.

Oleh kerana aku sorang je yang nak pegi, maka aku pun bercadang nak berjimat. So, aku pun naik la bas rapidKL. Save sgt sebab tambang dari Shah Alam ke KL hanya RM2 pegi balik. Kalau naik kete, aku kena bayar tol saja dah RM2.20. itu belum lagi dicampur dengan harga petrol dan parking yang mahal kat KLCC tu. Dipendekkan cerita, aku pun naik la bas U80 (UiTM Seksyen 2 ke Pasar Seni KL).

Entah mengapa, aku naik je bas tu aku terus duduk kat kerusi bahagian atas tayar belakang sebelah kanan bas. Sebelum ni aku cukup tak suka duduk kat tempat tu. Pelik kan? Aku agak kritikal la jugak masa mula naik bas tu sebab aku perhatikan keadaan bas tu. Aku rasa bas ni kurang selamat. Masa mula aku naik, aku dah kesan bahawa:

1. Pintu utama bas (bahagian depan) hanya boleh dibuka sebelah. Agak sukar kalau ada ramai yang nak naik bas. Mengakibatkan sesak.

2. Tukul pemecah cermin ketika kecemasan hanya tinggal pengangkut. Semua tukul yang sepatutnya berada kat situ dah takde. So, bila berlaku kecemasan, macam mana penumpang nak keluar? Nak pecahkan dengan tangan? Memang tak bleh.

3. Saluran hawa dingin bas sudah banyak yang rosak. Tinggal lubang kosong je kat situ.


Setelah lebih kurang sepuluh minit aku memerhati, bas pun bersedia untuk berlepas ke Pasar Seni. Masa tu jam aku menunjukkan pukul 12.55 tengah hari. Ketika mula perjalanan, aku dapat simpulkan bahawa pemandu bas ini agak brutal. Ini kerana masa kat roundabout seksyen 3 (berhampiran Mc Donalds) Shah Alam, pemandu ni sesuka hati je bunyikan hon kepada pengguna jalan raya lain. Ini menunjukkan bahawa dia kurang sabar ketika memandu.

Ketika di Lebuhraya Persekutuan, bas tersebut didapati dipandu di lorong laju pada kebanyakan masanya sedangkan bas rapidKL sepatutnya dipandu di lorong paling kiri kerana ia adalah bas berhenti-henti. Namun, ketika tiba berhampiran bilik pameran kereta Wolkswagen Petaling Jaya, ada seorang penumpang menekan loceng untuk turun. Dengan keadaan yang agak tergesa-gesa, pemandu bas tersebut terus menukar lorong yang paling kiri. Mengucap panjang aku waktu tu. Ada la jugak beberapa kereta lain yang membunyikan hon kepada bas yang aku naik tu. Sejak dari itu, aku sudah memasang niat bahawa aku akan buat laporan kepada pihak pengurusan rapidKL sebaik sahaja aku turun dari bas itu. Ini kerana aku tak mahu perbuatan seperti ini menjadi amalan pemandu bas rapidKL.

Tidak berapa lama selepas itu, sebaik sahaja melepasi stesen LRT Universiti, aku ternampak sebuah kereta proton satria beraksi seolah-olah tidak berpuas hati dengan pemandu bas yang aku naiki. Dia memandu secara tidak menentu (sekejap ke kiri dan sekejap ke kanan, dan terlalu perlahan). Oleh kerana itu, pemandu bas cuba mengelak dengan memotong kereta Proton Satria tersebut. Tetapi sebaik sahaja bas nak potong, dia terus laju. Ntah macam mana pemandu bas kami terus memintas di hadapan proton satria tersebut dan terus melanggar pembahagi jalan di kiri lebuhraya. Bas tersebut terhumban ke dalam gaung setinggi kira-kira bangunan dua setengah tingkat. Mulanya aku ingat bas tu akan tersangkut je kat situ tetapi tak sangka plak bleh jatuh terus.

Keadaan masa tu cukup cemas. Aku hanya mampu mencapai apa yang dapat dicapai. Masa bas tu nak terhumban, aku sempat berpaut pada pemegang di kerusi depan aku tetapi malangnya kerusi tu tercabut dan aku berpaut pula pada besi pemegang di tengah bas tetapi malangnya sekali lagi besi tu pun patah dan akibat hilang tempat berpaut, aku pun terus terhumban ke hadapan bas dan menghempap penumpang-penumpang lain yang telah terlebih dahulu terhumban ke situ sebelum aku. Di atas belakang badan aku terdapat sorang lagi penumpang yang menghempap dan mengakibatkan aku sesak nafas seketika.


Sebaik sahaja bas berhenti bergerak, aku terus bangun dan menjerit kesakitan. Cermin mata aku patah dan hilang entah kemana. Mata kiri aku lebam akibat terkena cermin mata tu. Dalam kecemasan itu, aku terus memastikan barang-barang peribadi aku seperti telefon bimbit, wallet dan beg aku terselamat. Aku cuba untuk membuka pintu kecemasan bas. Tetapi malangnya penukul kecemasan tidak terdapat dalam bas ketika itu. Maka, aku pun membuka pintu kecemasan yang terdapat pada bumbung bas tapi tak dapat nak keluar sebab tangan aku sakit, tak larat nak menarik badan naik ke atas.

Maka, aku pun terus menarik penumpang-penumpang yang terhumban ke pintu tengah bas untuk berada di ruang tengah bas bagi mengosongkan ruang pintu bas dan membolehkan pintu dibuka. Masa tu pintu depan bas memang remuk teruk dan pagar penghadang lebuhraya tercucuk menembusi bahagian depan sebelah kiri bas. Mujurlah ada ramai pengguna lebuhraya yang lain segera datang membantu. Mereka membantu untuk membuka pintu tengah bas bagi membolehkan kami keluar.

Aku amat terharu dan berasa sangat teruja apabila dua pemuda yang paling awal datang membantu tersebut tidak terus memasuki ruang dalam bas sebaik sahaja pintu dibuka. Sebaliknya dia terus memesan supaya kami mengambil dahulu barang-barang peribadi yang boleh dicapai sebelum mereka membantu. Bagus la macam ni. At least sume orang berhati-hati. Takde la nanti ada yang mendakwa barang-barang peribadi dicuri oleh penyelamat.

Aku sempat memapah beberapa orang mangsa untuk keluar dari bas dan duduk di tepi jalan sementara menunggu ambulans sampai. Ambulan sampai cepat sebab lokasi tempat kejadian berada tidak jauh dari Pusat Perubatan Universiti Malaya. Masa mulanya aku rasa ok je. Tapi bila lama-lama aku mula rasa sakit dada yang melampau dan sangat susah untuk bernafas. Kedua-dua belah tangan aku berasa kebas dan leher aku tidak boleh dipalingkan. Aku pun terus duduk je menunggu diselamatkan pula. Ambulans yang awal tiba hanya menyelamatkan mangsa yang parah dan kemudian barulah menyelamatkan mangsa yang kurang parah. Aku naik ambulans yang terakhir iaitu yang keenam kalau tak silap la.

Dalam ambulans, leher aku disyaki patah. Maka mereka memasang neck support untuk mengelakkan kecederaan lebih serius. Aku duduk je dalam ambulans tu. Aku naik bersama 3 mangsa lain. Dua daripadanya baring dan sorang lagi duduk je macam aku.
Sebaik tiba di PPUM, aku terus dibaringkan dan dibawa ke bilik kecemasan. Pihak PPUM telah menyuntik beberapa ubat ke dalam badan aku. Kemudian aku di bawa ke bilik x-ray untuk di x-ray bagi mengesan kecederaan.

Lama jugak la nak tunggu untuk masuk dalam bilik x-ray. Ini kerana ada ramai mangsa ketika itu sedang menunggu untuk masuk ke bilik yang sama. Aku tak kisah pun. Biarla pesakit yang serius masuk dulu. Pesakit yang tak kritital macam aku ni tak pe. Lewat skit pun takpe. Aku sempat berborak-borak dengan pembantu perubatan dan jururawat sambil menceritakan pengalaman ngeri yang baru sahaja dialami. Yang menariknya, ramai mengerumuni aku sebab aku ada amik banyak keping gambar ketika kejadian. Aku pun keluarkan kamera aku dan tunjuk pada mereka yang sememangnya pada ketika itu sangat teruja mendengar penceritaanku..

Dipendekkan cerita, lepas x-ray doktor mengesahkan bahawa aku okay. Takde patah-patah dan kecederaan serius. Dia kata aku Cuma mengalami kecederaan otot dan akan sembuh dalam masa seminggu. Kemudian aku ditempatkan di wad pemerhatian sementara menunggu doctor yang sepatutnya memeriksa mata aku sebab mata aku lebam. Lepas disahkan takde pape, aku pun terus dibenarkan pulang. Waktu tu kawan-kawan aku (Ranie, Meor dan Afif Wahdi) dan pun sampai di PPUM untuk membawa aku pulang.

Sebaik dibenarkan keluar, pegawai kanan rapidKL meminta aku tunggu sebentar sebab mereka nak amik maklumat aku. Mereka ni bagus, bagi kami makan dan minum kat situ. Kemudian, aku terus buat laporan polis kat Balai Polis Trafik Kuala Lumpur. Terima kasih Inspektor Mohd Rosmani Roslan kerana sangat banyak memudahkan proses aku kat situ. Untuk makluman, Inspektor Rosmani ni la yang paling awal sampai di PPUM dan amik maklumat berkaitan penumpang-penumpang. Terima kasih banyak. Semoga Allah permudahkan tugas anda.

Sekian sahajalah cerita pengalaman aku. Kini aku masih rasa sakit-sakit badan dan rasa lemah-lemah. Terima kasih juga kawan-kawan yang amat mengambil berat kat aku. Terima kasih Meor, Ranie dan ‘Afif Wahdi kerana paling awal sampai di PPUM untuk mengetahui keadaan aku. Ramai kawan-kawan yang telefon dan Tanya kabar aku. Tak lupa juga keluarga dan saudara mara yang sentiasa mendoakan keselamatan aku. Terima kasih semua.




Inilah keadaan rupa bas yang aku naik setelah ditunda ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur


Ini pula rupa aku masa dipakaikan neck support tu.. Rasa susah giler nak bergerak

Ini pula gambar ketika kejadian. Masa ni baru sebuah ambulans yang datang manakala pasukan penyelamat yang lain sedang bertungkus lumus membantu mangsa-mangsa.


Bagi sesiapa yang nak tanya soalan seperti "Teruk tak bas tu lepas accident?" Maka gambar inilah menjadi jawapannya...

4 comments:

ladymiaka86 said...

tau tak 2 org student uitm tu camne??

Nurul said...

wahh syukur la korang semua selamat...mmg kadang2 sy perasan ada segelintir driver yang kadang2 memandu tanpa memikirkan keselematan penumpang..nak tanya pak cik mana yang memandu bus ini ketika kejadian berlaku?

ladymiaka86 said...

urmm.. if ade sesape ade berita lanjut hope dpt maklumkan..
sy ni menunggu berita housemate sy yg terlibat dlm kemalangan tu..
sampai skang takde berita lg..
hanya dpt tau semlm yg dia mungkin patah kaki..

realaspiration said...

Syukurlah anda selamat!