Wednesday, December 3, 2008

Pemergian Seorang Pensyarah yang menyedihkan

Semalam aku selamat sampai ke Alor Star pada jam 2.00ptg setelah bertolak dari Shah Alam jam 9.00 pagi. Pada malamnya aku ambil kesempatan untuk meronda-ronda Alor Star setelah lama tak balik.



Setibanya aku kat rumah malam tadi, aku dapat berita yang menyedihkan. Seorang pensyarah- Tn Hj Shafiee Ahmad (Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Sumber
Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA Malaysia, Shah Alam) dan seorang pelajar Maryam Sakinah Ahmad kembali ke rahmatullah setelah terbabit dalam sebuah kemalangan ngeri di New Zealand. Manakala dua pelajar lelaki yang dikenali sebagai Amirul dan Mohd dilaporkan kritikal, dua pelajar perempuan yang lain parah. Seorang yang lain, Aisyah hanya cedera ringan dalam kemalangan terbabit.




Allahyarham Tuan Haji Shafiee Ahmad

Mereka adalah ahli U-VUE Club UiTM yang pergi melawat universiti-universiti di Aucland dan melengkapkan tugasan fotografi untuk kajian kelab tersebut.

Aku terus tergamam. Aku pun sepatutnya pergi jugak trip tu. Untuk makluman, aku adalah Pengerusi Jawatankuasa Penaja untuk kelab u-vue itu. Aku jugalah orang yang menubuhkan kelab tersebut dan mendaftarkannya.



Maka, aku terus sedih, Tidak pernah kusangka kelab yang aku tubuhkan dan menjadi kebanggaan aku telah mencatatkan sejarah hitam. Aku tak jadi nak join trip tu kerana beberapa faktor yang akan aku dedahkan kemudian.



Mulanya sedih jugak tak dapat pegi. Tapi bila difikirkan balik, inilah yang dinamakan hikmah di sebalik sesuatu yang berlaku. Bayangkan kalau aku pun pegi jugak..

Tn Hj Shafiee adalah seorang pensyarah yang baik walaupun dia agak tegas dalam kelas. Semua budak kelas aku amat menyayangi dia. Oleh kerana itu, kami panggil dia dengan gelaran 'ayahanda'. Kami cukup mesra dengannya.

Allahyarham Tuan Haji Shafiee Ahmad (dua dari kiri). Ketika lawatan Muhibbah ke Kolej Shahputra, Pahang.


Pelajar yang meninggal pula dikenali sebagai Maryam. Dia pun amat baik. Senang berurusan dengan dia. Pendek kata, dia memang takde masalah dengan sesapa pun.

Itulah yang dikatakan ajal. Ajal maut di tangan Tuhan. Ini ada ketentuanNya. Kita hanya merancang... Tuhan yang menentukan segalanya.


Ini adalah laporan berita di sana. Khas untuk tatapan anda.

Two dead after Waikato crash


Keadaan van yang teruk selepas terlibat dalam kemalangan tersebut.

7:37AM Thursday Dec 04, 2008
A male driver and a female passenger were killed and four people injured when their van collided with a truck and trailer unit in south Waikato last night.
The crash happened at the intersection of State Highway 1 and State Highway 5, east of Tirau.
Senior Sergeant Murray Hamilton of Taupo Police said initial inquiries showed that the van ignored a stop sign on SH5 and drove into the path of the truck and trailer unit on SH1.
Of the injured, two men were flown to Waikato Hospital in a serious condition, while two women were taken by ambulance with minor injuries. The truck driver was uninjured.
SH1 between Putaruru and Tirau was closed following the crash and diversions put in place.
- NZPA

Monday, November 24, 2008

Kisah Air-Cond Kereta Aku

Hari ini aku kerja half day. Konvokesyen hari ni satu sidang saja iaitu sidang pagi. So, petang aku beronggeng... hahahaha..

Aku balik je rumah terus tidur sebab malam tadi aku tido lewat. Asyik ym dengan kawan-kawan. So, petang ni masa aku 'qada' balik waktu tidur aku.
Aku tido lama gak ptg tadi. Hampir dua jam!!! Sampai tak sedar jam dah pun menunjukkan pukul 4.05 petang. So, aku bingkas bangun dan mandi. Ini kerana aku bercadang nak repair air-cond keta aku yang dah lama tak berfungsi. Aku tak tahan dah naik keta takde air cond ni. Time panas terik takpe lagi... bleh bukak tingkap. Tapi time hujan... mmg perit la. Dgn kabus cermin keta, dgn berkuap. Susah aku nak drive dibuatnya.

So, aku plan di kesempatan yang ada ni nak bawak la keta aku pi 'klinik' dia. Nak kasi cergas sikit... hehehehe... Maka aku pun agak-agak nak repair air cond ni maybe kos dia dalam RM100-RM150 camtu la. Aku agak paip bocor sebab kompresor langsung tak bergerak. Ni biasanya sebab gas takde. So, lepas aku tanya member-member yang penah repair paip bocor diorang cakap mmg dalam RM100-RM150 je la... bergantung kepada tahap kebocoran.

Aku pun withdraw duit kat atm RM200. Mana la tau kot-kot ada kos luar jangkaan. So, aku pegi la repair kat satu kedai ni. Dia kata better servis la. Baru leh tau kat mana rosak or bocor. Kosnya RM80 je. Fuhh.... selamat duit aku.

Tetiba masa dia bukak and periksa cooling coil. Ada kebocoran di situ. Bocornya sangat la besar. Mmg takleh nak tampal dah. Aku tengok tempat bocor tu pun mmg agak besar la. Rupanya dulu dah penah bocor tempat tu. So, skrg kebocoran tu semakin besar dan tak dapat nak ditampal lagi. Kalau tampal pun sekejap je dah bocor balik. Buat rugi je.



So, aku dicadangkan supaya ganti terus cooling coil tu dgn yang baru supaya tak bocor lagi pada masa akan datang. Harganya mahal gak la. RM180. Aku pikir banyak kali gak. Tapi oleh kerana tak tahan lagi dengan masalah sebelum ni, maka aku pun nekad tukar je. Senang citer. Mahal pun takpe. Janji puas.


Inilah rupa cooling coil yang baru itu. Buatan APM.




Yang ni pulak cooling coil yang lama. Dah kotor dan bocor. Melayang duit aku...huhuhu...

Lepas dah tukar tu baru la brader tu gitau yang aku gas kena isi lagi sebab dah bocor besar, gas sume dah abis. So, kena la tambah duit lagi. Gas tu dah la mahal. Jenis R134a. Hmm... takpe la.. isi je la. Kalau dah tukar cooling coil takde gas tak guna gak. Air cond tetap tak berfungsi.

Pastu bila dah masuk gas sume, kompresor lak bunyi skit. Kena tambah minyak pulak. Tambah la RM40 lagi. Hishh... sebab tu la aku malas nak bawak keta ni repair. Bila dah repair satu... ada je benda lain yang kena tambah. Tak tambah nanti rosak yang lain plak. Susah di kemudian hari.
So, tambah je lah...

Lepas dah tambah berbagai-bagai kos sampingan tu, maka total semuanya RM260. Fuhh... nasib baik la masa tu aku ada RM280 dalam wallet. Memang ngam-ngam la. Lepas bayar kos ni aku ada balance lagi RM10 je.. huhuhuhu... sedihnya.

Tapi best la jugak air-cond dah kembali berfungsi. Lepas je aku kuar kedai tu, terus aku pegi ATM. Kena cucuk duit lagi. Kalau tak pokai la aku. Aku test air-cond tu... aku bukak paling sejuk. Menggigil aku dibuatnya. Memang betul-betul sejuk la. Even lagi sejuk daripada sebelum ni. Akhirnya aku puas ati jugak. Walaupun duit melayang...

Saturday, November 22, 2008

Kisah Kasih Seorang Ibu

Hari ini adalah hari ketiga Istiadat Konvokesyen UiTM ke 69. Seperti biasa aku keluar rumah jam 7.40 pagi dan tiba di Tempat letak kereta bertingkat UiTM sepuluh minit kemudian.
Oleh kerana terlewat tiba, aku pun berlari ke tempat punch card sehingga terlupa tag konvokesyen. Kalau tak ada tag ni, susah sikit nak masuk kawasan larangan. Biasalah.. org ramai masa konvo ni. Selepas aku tandakan 'punch card' di Bilik Operasi, maka aku pun bergegas semula ke tempat letak kereta untuk mengambil tag yg tertinggal itu.

Waktu aku menuju ke Dewan Sri Budiman (tempat berlangsungnya istiadat konvokesyen), aku terlihat seorang ibu yang agak lanjut usianya dan kelihatan sedikit bongkok. Aku pasti dia datang ke sini untuk melihat anaknya yang berkonvo hari ini. Aku berasa sungguh simpati. Melihatnya, aku dapat merasakan bahawa dia bukanlah orang yang senang dan bukan juga orang yang sederhana. Bajunya yang agak lusuh dan tas tangannya yang agak berusia menambahkan lagi sangkaan aku. Dia sedang beratur di celah-celah waris graduan lain yang turut beratur untuk masuk ke dalam Dewan bagi menyaksikan acara yang bersejarah buat anaknya. Aku terus berlalu menuju ke dalam dewan. Tetapi perasaan simpati aku masih bermain di kotak fikiran.

Beginilah suasana di dalam Dewan Sri Budiman, Universiti Teknologi MARA Malaysia, Shah Alam. Masa ni semua graduan dah masuk. Tgh tunggu perarakan besar masuk ke dalam dewan untuk memulakan istiadat.


Setelah selesai sidang sesi pagi, aku keluar menuju ke foyer. Aku suka memerhatikan gelagat manusia di situ. Ada yang berwajah ceria. Ada yang menangis kegembiraan. Ada yang berwajah masam. Ada yang berwajah lesu (mungkin terlalu letih menempuh perjalanan yang jauh). Wajah-wajah ini memang biasa dilihat ketika konvokesyen di mana-mana sahaja.


Tiba-tiba ibu yang aku lihat semasa sebelum bermula istiadat pagi tadi melintas di hadapan aku. Sungguh kasihan aku melihat ibu itu. Walaupun kurang berkemampuan, dia tetap menyimpan hasrat untuk menghadiahkan bunga untuk anaknya sepertimana yang dilakukan oleh keluarga graduan yang lain. Begitulah gambaran kasihnya seorang ibu kepada anak. Di tangannya aku lihat hanya sekuntum bunga mawar berwarna merah yang dibelinya. Tidak seperti ibu bapa lain yang membeli sejambak bunga yang digubah indah untuk anak mereka.


Aku amat simpati. Mungkin hanya sekuntum bunga itu yang mampu dibelinya. Walaupun sekuntum, tetapi harganya tidak kurang daripada RM5. Oleh kerana aku mempunyai perasaan ingin tahu dan ingin menyiasat, maka aku mengekorinya jauh dari belakang. Kira-kira lima minit berjalan, dia disapa oleh seorang anak teruna yang lantas memeluknya. Aku pasti, lelaki itu adalah anaknya. Ibu itu memberikan ciuman mesra kepada jejaka itu dan seraya memberikan sekuntum bunga yang berada di tangannya. Jejaka itu menyambutnya penuh dengan perasaan terharu. Lantas, aku yang sedang memerhatikan gerak geri mereka dari jauh berasa amat sedih.
Walaupun jejaka itu tidak dihadiahkan sejambak bunga yang indah daripada ibunya, namun dia tetap menghargai pemberian itu seadanya.


Dia tak henti memeluk ibunya dan aku dapat melihat mata ibu itu berkaca dan mula mengalirkan air yang jernih. Sedih sungguh. Jauh di sudut hatiku berasa bersyukur. Walaupun aku sudah lama hidup tanpa ayah, tetapi hidup aku tidaklah susah. Walaupun, ayahku meninggal ketika usiaku masih mentah, tetapi aku masih mampu diberi makan dan minum secukupnya oleh ibu. Dan ibu aku juga boleh hidup dengan senang. Boleh pakai baju-baju yang baru, beg tangan berjenama, telefon bimbit baru, makan di restoran mewah (sekali-sekala), memandu kereta import dan mendiami rumah yang selesa.


Walaupun aku merasakan hidup aku susah, aku kini sedar ada lagi insan yang jauh lebih susah daripada aku. Walaupun kadangkala aku merasakan kehidupan aku kurang sempurna, aku kini sedar bahawa ada lagi insan yang hidup lebih jauh tidak sesempurna hidup aku.


Jauh di sudut hati aku berharap agar suatu hari nanti jejaka itu dapat mengubah nasib ibunya. Jangan biarkan ibu itu terus hidup dalam kesusahan. Biarlah kesusahannya membesarkan dan memberi pelajaran kepada anak terunanya itu berbalas dengan ganjaran kesenangan hidup di usia senja. Amin...


Wednesday, October 22, 2008

Mood Aku Berubah Hari Ini

Entah mengapa, mood aku tidak menentu hari ini. Hari ini adalah hari yang paling penting untuk subjek Broadcast Journalism (Kewartawanan Penyiaran) kerana aku bersama ahli kumpulan dan rakan-rakan dari kumpulan lain perlu membentangkan hasil kerja kursus atau projek yang telah dijalankan. Setiap kumpulan dikehendaki memilih isu-isu yang mencabar dan lain dari yang lain untuk diketengahkan dan perlu ada penyiasatan. Pada masa yang sama kami dikehendaki membuat penerbitan sebuah berita sendiri.

Tugasan kali ini memang amat mencabar kerana ia menuntut banyak kesabaran dan perlu belajar banyak perkara yang tak pernah dipelajari. Kumpulan aku memilih tajuk Counterfeit Stuff VS Original Stuff. Ini kerana trend penggunaan barang-barang tiruan semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini. Tumpuan kami hanyalah untuk barangan harian seperti pakaian, beg, dan kosmetik.

Liputan dibuat di Uptown Shah Alam. Tempat tersebut bukanlah tempat yang selamat untuk kami membuat liputan. Tambahan pula isu yang ingin diketengahkan amat sensitif bagi golongan peniaga di situ. Oleh itu, pelbagai helah terpaksa dibuat bagi menyelamatkan diri. Penggunaan kamera menambahkan lagi perasaan curiga mereka. Ironinya, mereka menganggap kami sebagai agen berita yang benar-benar ingin menyiarkan berita di mana-mana agensi berita dan ada juga yang menganggap kami agen dari pihak berkuasa seperti Kastam dan KPDN-HEP.

Oleh itu, semasa rakaman dilakukan, ramai sekali peniaga yang menunjukkan perasaan curiga dan tak kurang juga yang mengekori kami sepanjang liputan dibuat. Terus terang aku katakan, aku memang takut jika berlaku sebarang perkara yang tidak diingini terhadap aku dan ahli kumpulan aku yang lain.

Kami juga amat sukar untuk mendapatkan reaksi peniaga tentang isu yang kami sedang kaji. Oleh itu, kami terpaksa berpura-pura seolah-olah tidak merakam wajah mereka tetapi dalam diam, suara mereka dirakamkan kerana lensa kamera dihalakan ke bawah. Biarpun tak nampak wajah, tetapi kami tetap mahukan bukti.

Setelah selesai semuanya, kami meneruskan dengan menemuramah beberapa orang awam atau lebih dikenali sebagai istilah responden untuk mendapatkan S.O.T (Sound On Tape) atau pandangan mereka tentang isu ini.

Kemudian, keesokan harinya pula, kami berkunjung ke beberapa buah kedai yang menjual barangan original seperti Guess di Bukit Tinggi Klang untuk mendapatkan pandangan mereka pula.

Pada keesokan harinya pula rakaman dalam studio berita pula dijalankan. Terus terang aku katakan, aku memang penat buat kerja ini. Bukannya apa, dalam pada masa yang sama juga, banyak lagi tugasan lain yang perlu disiapkan. Tetapi berkat kesabaran dan pertolongan rakan-rakan yang lain, dapat juga aku siapkan.

Pada hujung minggu lepas, tugas aku yang seterusnya ialah melakukan kerja-kerja Non-Linear Editing. Kerja-kerja ini amat menuntut kesabaran dan ketabahan. Kerja-kerja perlu dilakukan dengan teliti dan rapi dengan menyelitkan daya kreativiti yang tersendiri bagi menghasilkan kualiti penerbitan yang baik.

Setelah dua hari suntuk, barulah siap kerja-kerja editing. Segalanya menggunakan Canopus EDIUS System. Hanya system ini yang aku reti guna. Kemudian, oleh kerana terdapat beberapa kerosakan pada sistem edit, maka DVD yang dihasilkan tidak dapat dimainkan dalam pemain DVD. Mujurlah ada bantuan daripada staf teknikal Fakulti. Akhirnya dapat juga dibuat semula dengan merosakkan hampir 7 keping cakera DVD.

Kemudian, tibalah masa untuk membentangkannya iaitu hari ini (22 Oktober 2008). Entah mengapa aku sukar untuk tidur dengan nyenyak pada malam sebelumnya. Setiap jam aku terjaga dan memikirkan tentang pembentangan yang bakal dilakukan.

Dan pagi tadi, dalam kereta sepanjang memandu ke kampus, hati aku rasa tak sedap sangat. Aku amat risau kalau-kalau produksi kumpulan aku ditolak. Ini kerana panel yang akan menilai pembentangan amat tegas, ketat dan terlalu teliti dalam segenap perkara. Pernah aku lihat depan mata aku, kertas kerja dilemparkan dan hasil projek dikutuk sekeras-kerasnya oleh panel tersebut sehinggakan ramai yang menangis. Hal ini telah menjadi igauan ngeri untukku. Kalau la kena reject, habis la markah untuk subjek ini. Memang terus jatuh merudum.

Tibalah masa yang ditunggu-tunggu. Hasil pemilihan oleh panel penilai, kumpulan aku adalah kumpulan yang terakhir yang akan membentangkan hasil kerja. Semuanya terdapat lima kumpulan. Setiap kumpulan mempunyai 4 orang ahli.

Sebaik sahaja kumpulan pertama memulakan pembentangan, semuanya terus kaget. Panel penilai tersebut terus membuat komen negatif semasa sesi pembentangan sedang berlangsung. Semua kumpulan yang lain terus berdebar menantikan nasib kumpulan masing-masing termasuklah aku.

Ada beberapa kumpulan yang dikehendaki membuat semula dan menghantarnya sebelum hari jumaat ini. Oleh kerana kumpulan aku yang terakhir, keresahan aku semakin membuak-buak. Apa lah nasibku selepas ini. Tetapi pada masa yang sama, aku sempat menghantar SMS kepada ibu yang berada di rumah untuk mendoakan aku. Hanya itu jalan terakhir yang aku mampu usahakan.

Mungkin kerana berkat doa Ibu, pembentangan kumpulan aku berjalan dengan lancar. Hanya ada beberapa komen negatif. Yang lain semuanya komen positif. Aku rasa amat gembira. Namun, hati aku tetap berasa sayu. Ramai rakan-rakan coursemate aku yang kecewa. Aku bagaikan hendak menangis melihat mereka dimarah dan pembentangan mereka ditolak mentah-mentah. Rasa bagaikan hati aku dihiris.

Dalam pada aku menaburkan perasaan simpati yang tidak berbelah bahagi, ada juga seorang di kalangan mereka yang tidak memahami perasaan aku. Aku sedih. Ada kenyataannya yang aku dengar menyatakan sesuatu yang negatif terhadap diriku. Aku pasrah. Biarlah Tuhan yang menjadi saksi.

Jauh di sudut hatiku menyatakan perasaan simpati terhadap kawan-kawan aku semua. Aku tidak pernah berniat untuk bermasam muka. Tetapi entah mengapa aku pula yang mengalaminya. Terus terang aku katakan, aku amat simpati kepada kalian. Aku bukan mengejar kejayaan untuk diriku sendiri. Tetapi untuk semua. Percayalah...

Aku tidak berdaya untuk membuat semua orang suka aku tetapi sekurang-kurangnya aku ingin mereka tahu perasaan aku yang sebenarnya... Biarlah hari ini aku bersendirian... aku ingin melayan perasaan aku yang tidak menentu ini...

Thursday, September 4, 2008

Salam Perkenalan

Assalamualaikum dan salam sejahtera

Memandangkan ini adalah kali pertama saya mengaktifkan blog ini, maka saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang sudi singgah-singgah dan menatap blog saya ini. Buat masa ini saya bukanlah penulis yang aktif tetapi saya aktif menulis. Jadi, mungkin di masa akan datang ada beberapa isu atau topik yang akan saya kemukakan untuk anda semua. Mungkin juga saya akan mempertimbangkan untuk memasukkan beberapa isu-isu kritikal atau sensasi untuk dikongsi bersama semoga ilmu dan pengetahuan yang kita ada dapat dikembangkan bersama-sama sejajar dengan tuntutan agama kita.

Oleh kerana bulan ini adalah bulan Ramadan, rasanya tidak terlewat sekiranya saya ingin mengucapkan selamat berpuasa. Jalankan ibadat puasa dengan penuh ketaatan dan keinsafan kepada Tuhan. Janganlah jadikan puasa sebagai alasan untuk kita tidak menjalankan aktiviti harian dengan sempurna. Jadilah insan yang lebih berdisiplin semoga ibadat yang dikerjakan akan beroleh keuntungan berupa pahala yang tidak terhingga nilainya.

Akhir kata, salam permisi buat warga bervisi, pemuda bervisi mohon permisi.
~Coretan Pemuda Bervisi~