Saturday, November 22, 2008

Kisah Kasih Seorang Ibu

Hari ini adalah hari ketiga Istiadat Konvokesyen UiTM ke 69. Seperti biasa aku keluar rumah jam 7.40 pagi dan tiba di Tempat letak kereta bertingkat UiTM sepuluh minit kemudian.
Oleh kerana terlewat tiba, aku pun berlari ke tempat punch card sehingga terlupa tag konvokesyen. Kalau tak ada tag ni, susah sikit nak masuk kawasan larangan. Biasalah.. org ramai masa konvo ni. Selepas aku tandakan 'punch card' di Bilik Operasi, maka aku pun bergegas semula ke tempat letak kereta untuk mengambil tag yg tertinggal itu.

Waktu aku menuju ke Dewan Sri Budiman (tempat berlangsungnya istiadat konvokesyen), aku terlihat seorang ibu yang agak lanjut usianya dan kelihatan sedikit bongkok. Aku pasti dia datang ke sini untuk melihat anaknya yang berkonvo hari ini. Aku berasa sungguh simpati. Melihatnya, aku dapat merasakan bahawa dia bukanlah orang yang senang dan bukan juga orang yang sederhana. Bajunya yang agak lusuh dan tas tangannya yang agak berusia menambahkan lagi sangkaan aku. Dia sedang beratur di celah-celah waris graduan lain yang turut beratur untuk masuk ke dalam Dewan bagi menyaksikan acara yang bersejarah buat anaknya. Aku terus berlalu menuju ke dalam dewan. Tetapi perasaan simpati aku masih bermain di kotak fikiran.

Beginilah suasana di dalam Dewan Sri Budiman, Universiti Teknologi MARA Malaysia, Shah Alam. Masa ni semua graduan dah masuk. Tgh tunggu perarakan besar masuk ke dalam dewan untuk memulakan istiadat.


Setelah selesai sidang sesi pagi, aku keluar menuju ke foyer. Aku suka memerhatikan gelagat manusia di situ. Ada yang berwajah ceria. Ada yang menangis kegembiraan. Ada yang berwajah masam. Ada yang berwajah lesu (mungkin terlalu letih menempuh perjalanan yang jauh). Wajah-wajah ini memang biasa dilihat ketika konvokesyen di mana-mana sahaja.


Tiba-tiba ibu yang aku lihat semasa sebelum bermula istiadat pagi tadi melintas di hadapan aku. Sungguh kasihan aku melihat ibu itu. Walaupun kurang berkemampuan, dia tetap menyimpan hasrat untuk menghadiahkan bunga untuk anaknya sepertimana yang dilakukan oleh keluarga graduan yang lain. Begitulah gambaran kasihnya seorang ibu kepada anak. Di tangannya aku lihat hanya sekuntum bunga mawar berwarna merah yang dibelinya. Tidak seperti ibu bapa lain yang membeli sejambak bunga yang digubah indah untuk anak mereka.


Aku amat simpati. Mungkin hanya sekuntum bunga itu yang mampu dibelinya. Walaupun sekuntum, tetapi harganya tidak kurang daripada RM5. Oleh kerana aku mempunyai perasaan ingin tahu dan ingin menyiasat, maka aku mengekorinya jauh dari belakang. Kira-kira lima minit berjalan, dia disapa oleh seorang anak teruna yang lantas memeluknya. Aku pasti, lelaki itu adalah anaknya. Ibu itu memberikan ciuman mesra kepada jejaka itu dan seraya memberikan sekuntum bunga yang berada di tangannya. Jejaka itu menyambutnya penuh dengan perasaan terharu. Lantas, aku yang sedang memerhatikan gerak geri mereka dari jauh berasa amat sedih.
Walaupun jejaka itu tidak dihadiahkan sejambak bunga yang indah daripada ibunya, namun dia tetap menghargai pemberian itu seadanya.


Dia tak henti memeluk ibunya dan aku dapat melihat mata ibu itu berkaca dan mula mengalirkan air yang jernih. Sedih sungguh. Jauh di sudut hatiku berasa bersyukur. Walaupun aku sudah lama hidup tanpa ayah, tetapi hidup aku tidaklah susah. Walaupun, ayahku meninggal ketika usiaku masih mentah, tetapi aku masih mampu diberi makan dan minum secukupnya oleh ibu. Dan ibu aku juga boleh hidup dengan senang. Boleh pakai baju-baju yang baru, beg tangan berjenama, telefon bimbit baru, makan di restoran mewah (sekali-sekala), memandu kereta import dan mendiami rumah yang selesa.


Walaupun aku merasakan hidup aku susah, aku kini sedar ada lagi insan yang jauh lebih susah daripada aku. Walaupun kadangkala aku merasakan kehidupan aku kurang sempurna, aku kini sedar bahawa ada lagi insan yang hidup lebih jauh tidak sesempurna hidup aku.


Jauh di sudut hati aku berharap agar suatu hari nanti jejaka itu dapat mengubah nasib ibunya. Jangan biarkan ibu itu terus hidup dalam kesusahan. Biarlah kesusahannya membesarkan dan memberi pelajaran kepada anak terunanya itu berbalas dengan ganjaran kesenangan hidup di usia senja. Amin...


4 comments:

Azam Reddy said...

abg dh bjaya mnyentuh emosi sye dlm cite ni..sye rase sgt trkesan..huhu..

Ellanna Bernard said...

saya pun rasa begitu juga...hampir menitik air mata tp di bilik computer kolej so control...

Cikgu Aini said...

:'( moga kehidupannya telah berubah mini... amin

Cikgu Aini said...

#typo : kini