Wednesday, October 22, 2008

Mood Aku Berubah Hari Ini

Entah mengapa, mood aku tidak menentu hari ini. Hari ini adalah hari yang paling penting untuk subjek Broadcast Journalism (Kewartawanan Penyiaran) kerana aku bersama ahli kumpulan dan rakan-rakan dari kumpulan lain perlu membentangkan hasil kerja kursus atau projek yang telah dijalankan. Setiap kumpulan dikehendaki memilih isu-isu yang mencabar dan lain dari yang lain untuk diketengahkan dan perlu ada penyiasatan. Pada masa yang sama kami dikehendaki membuat penerbitan sebuah berita sendiri.

Tugasan kali ini memang amat mencabar kerana ia menuntut banyak kesabaran dan perlu belajar banyak perkara yang tak pernah dipelajari. Kumpulan aku memilih tajuk Counterfeit Stuff VS Original Stuff. Ini kerana trend penggunaan barang-barang tiruan semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini. Tumpuan kami hanyalah untuk barangan harian seperti pakaian, beg, dan kosmetik.

Liputan dibuat di Uptown Shah Alam. Tempat tersebut bukanlah tempat yang selamat untuk kami membuat liputan. Tambahan pula isu yang ingin diketengahkan amat sensitif bagi golongan peniaga di situ. Oleh itu, pelbagai helah terpaksa dibuat bagi menyelamatkan diri. Penggunaan kamera menambahkan lagi perasaan curiga mereka. Ironinya, mereka menganggap kami sebagai agen berita yang benar-benar ingin menyiarkan berita di mana-mana agensi berita dan ada juga yang menganggap kami agen dari pihak berkuasa seperti Kastam dan KPDN-HEP.

Oleh itu, semasa rakaman dilakukan, ramai sekali peniaga yang menunjukkan perasaan curiga dan tak kurang juga yang mengekori kami sepanjang liputan dibuat. Terus terang aku katakan, aku memang takut jika berlaku sebarang perkara yang tidak diingini terhadap aku dan ahli kumpulan aku yang lain.

Kami juga amat sukar untuk mendapatkan reaksi peniaga tentang isu yang kami sedang kaji. Oleh itu, kami terpaksa berpura-pura seolah-olah tidak merakam wajah mereka tetapi dalam diam, suara mereka dirakamkan kerana lensa kamera dihalakan ke bawah. Biarpun tak nampak wajah, tetapi kami tetap mahukan bukti.

Setelah selesai semuanya, kami meneruskan dengan menemuramah beberapa orang awam atau lebih dikenali sebagai istilah responden untuk mendapatkan S.O.T (Sound On Tape) atau pandangan mereka tentang isu ini.

Kemudian, keesokan harinya pula, kami berkunjung ke beberapa buah kedai yang menjual barangan original seperti Guess di Bukit Tinggi Klang untuk mendapatkan pandangan mereka pula.

Pada keesokan harinya pula rakaman dalam studio berita pula dijalankan. Terus terang aku katakan, aku memang penat buat kerja ini. Bukannya apa, dalam pada masa yang sama juga, banyak lagi tugasan lain yang perlu disiapkan. Tetapi berkat kesabaran dan pertolongan rakan-rakan yang lain, dapat juga aku siapkan.

Pada hujung minggu lepas, tugas aku yang seterusnya ialah melakukan kerja-kerja Non-Linear Editing. Kerja-kerja ini amat menuntut kesabaran dan ketabahan. Kerja-kerja perlu dilakukan dengan teliti dan rapi dengan menyelitkan daya kreativiti yang tersendiri bagi menghasilkan kualiti penerbitan yang baik.

Setelah dua hari suntuk, barulah siap kerja-kerja editing. Segalanya menggunakan Canopus EDIUS System. Hanya system ini yang aku reti guna. Kemudian, oleh kerana terdapat beberapa kerosakan pada sistem edit, maka DVD yang dihasilkan tidak dapat dimainkan dalam pemain DVD. Mujurlah ada bantuan daripada staf teknikal Fakulti. Akhirnya dapat juga dibuat semula dengan merosakkan hampir 7 keping cakera DVD.

Kemudian, tibalah masa untuk membentangkannya iaitu hari ini (22 Oktober 2008). Entah mengapa aku sukar untuk tidur dengan nyenyak pada malam sebelumnya. Setiap jam aku terjaga dan memikirkan tentang pembentangan yang bakal dilakukan.

Dan pagi tadi, dalam kereta sepanjang memandu ke kampus, hati aku rasa tak sedap sangat. Aku amat risau kalau-kalau produksi kumpulan aku ditolak. Ini kerana panel yang akan menilai pembentangan amat tegas, ketat dan terlalu teliti dalam segenap perkara. Pernah aku lihat depan mata aku, kertas kerja dilemparkan dan hasil projek dikutuk sekeras-kerasnya oleh panel tersebut sehinggakan ramai yang menangis. Hal ini telah menjadi igauan ngeri untukku. Kalau la kena reject, habis la markah untuk subjek ini. Memang terus jatuh merudum.

Tibalah masa yang ditunggu-tunggu. Hasil pemilihan oleh panel penilai, kumpulan aku adalah kumpulan yang terakhir yang akan membentangkan hasil kerja. Semuanya terdapat lima kumpulan. Setiap kumpulan mempunyai 4 orang ahli.

Sebaik sahaja kumpulan pertama memulakan pembentangan, semuanya terus kaget. Panel penilai tersebut terus membuat komen negatif semasa sesi pembentangan sedang berlangsung. Semua kumpulan yang lain terus berdebar menantikan nasib kumpulan masing-masing termasuklah aku.

Ada beberapa kumpulan yang dikehendaki membuat semula dan menghantarnya sebelum hari jumaat ini. Oleh kerana kumpulan aku yang terakhir, keresahan aku semakin membuak-buak. Apa lah nasibku selepas ini. Tetapi pada masa yang sama, aku sempat menghantar SMS kepada ibu yang berada di rumah untuk mendoakan aku. Hanya itu jalan terakhir yang aku mampu usahakan.

Mungkin kerana berkat doa Ibu, pembentangan kumpulan aku berjalan dengan lancar. Hanya ada beberapa komen negatif. Yang lain semuanya komen positif. Aku rasa amat gembira. Namun, hati aku tetap berasa sayu. Ramai rakan-rakan coursemate aku yang kecewa. Aku bagaikan hendak menangis melihat mereka dimarah dan pembentangan mereka ditolak mentah-mentah. Rasa bagaikan hati aku dihiris.

Dalam pada aku menaburkan perasaan simpati yang tidak berbelah bahagi, ada juga seorang di kalangan mereka yang tidak memahami perasaan aku. Aku sedih. Ada kenyataannya yang aku dengar menyatakan sesuatu yang negatif terhadap diriku. Aku pasrah. Biarlah Tuhan yang menjadi saksi.

Jauh di sudut hatiku menyatakan perasaan simpati terhadap kawan-kawan aku semua. Aku tidak pernah berniat untuk bermasam muka. Tetapi entah mengapa aku pula yang mengalaminya. Terus terang aku katakan, aku amat simpati kepada kalian. Aku bukan mengejar kejayaan untuk diriku sendiri. Tetapi untuk semua. Percayalah...

Aku tidak berdaya untuk membuat semua orang suka aku tetapi sekurang-kurangnya aku ingin mereka tahu perasaan aku yang sebenarnya... Biarlah hari ini aku bersendirian... aku ingin melayan perasaan aku yang tidak menentu ini...

3 comments:

Aloy Paradoks said...

pemuda bervisi mana ada sedih.

~ Kh@ty ~ said...

adik...
jgnlah fikir sangat.
dalam hidup nie....kita takkan lari dari cabaran...esok lusa kalau kita bersabar...Tuhan akan membalasnya dengan senyuman juga :)
lagipun...kita berhak untuk mendapat pujian positif Puan yang berdasarkan hasil usaha keras kita bersama selama ini.Biarlah apa org nak kata pun...
Khaty dan kumpulan kita yg lain akan tetap menyokong kamu...
jangan nangis :)
kita sama2 membina masa depan yang gemilang <333.

Aloy Paradoks said...

kalau yad nak diaorg mati cakap la kat gua,, gua dah lam tak bunuh orang.